Rakyat marah dengan usaha memburu pembangkang: Wanita PH

Ahli keluarga kepada pemimpin-pemimpin politik kerap menjadi sasaran yang mudah bagi pihak lawan, khususnya di kalangan mereka yang berada di pihak pembangkang. Ini adalah suatu cara lapuk dan menjengkelkan yang sepatutnya tidak lagi berlaku di zaman ini.

Tetapi ternyata perkara sedemikian terus menjadi satu senjata ampuh di bawah Kerajaan Perikatan Nasional hari ini. Ini hanya membuktikan Kerajaan hari ini tidak serius dalam membawa agenda perubahan ke arah perkhidmatan yang berintegriti, bersih lagi telus dengan masih membenarkan politik toksik, dendam dan pertuduhan yang tidak berasas.

Berita penangkapan ke atas Sdri Betty Chew, isteri kepada Sdr Lim Guan Eng pada 7 Ogos 2020 yang lepas amat mengejutkan. Kita belum lagi reda dengan berita tuduhan tidak berasas ke atas Sdr Lim Guan Eng oleh SPRM. Kemarahan bukan saja dirasai oleh anggota-anggota Pakatan Harapan bahkan juga oleh masyarakat umum yang tanpa henti menghantar mesej solidariti, simpati dan keprihatinan mereka di ruang media sosial yang bagi mereka jelas menggambarkan agenda kerajaan ini menyasarkan ahli keluarga Sdr Lim khususnya isteri beliau.

Kami Wanita Pakatan Harapan mendesak supaya kes Sdri Betty Chew dikendalikan secara telus dan adil, juga kami memperingatkan dengan tegas agar agensi kerajaan bersikap professional mengikut undang-undang tanpa rasa takut dan pilih kasih, dan yang lebih utama tidak menjadi alat kepada tuan politik hanya untuk menenggelamkan suara-suara yang menentang amalan korup dan penyalahgunaan kuasa.

Wanita Pakatan Harapan berdiri teguh dalam solidariti bersama Sdri Betty Chew, yang merupakan tunggak kekuatan bukan sahaja terhadap suaminya Sdr Lim Guan Eng bahkan juga bagi keluarga dan ibu beliau Puan Neo, yang bersama-sama dalam saat getir yang menimpa keluarga ini atas pertuduhan tanpa asas oleh pihak Kerajaan masa ini.

YB Fuziah binti Salleh
Ketua Wanita KEADILAN

YB Senator Aiman Athirah Al Jundi
Ketua Wanita AMANAH

YB Chong Eng
Ketua Wanita DAP

About the author

Leave a Reply